Apa Itu Gelombang Haba

Gelombang Haba adalah satu tempoh dengan suhu tinggi yang luar biasa; melebihi suhu maksima purata harian dan keadaan cuaca yang agak panas. Kelazimannya berlarutan hingga beberapa hari atau beberapa minggu.

Implikasi

Terdapat beberapa implikasi yang signifikan yang disebabkan gelombang haba di antaranya penggunaan tenaga elektrik, sumber air, pertanian dan kesihatan orang awam dan di dalam kes-kes yang ekstrim, boleh menyebabkan kematian. Setiap negara mempunyai ambang nilai yang berlainan untuk menentukan satu kejadian gelombang haba iaitu berdasarkan suhu harian maksima jangka panjang dan juga data-data klimat yang lain. Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksima harian melebihi 37°C untuk tiga hari berterusan. Terdapat Empat peringkat di dalam pemantauan gelombang haba yang melibatkan suhu maksima harian di Malaysia yang dibangunkan oleh MetMalaysia seperti berikut:


Untuk Peringkat 2 dan 3, orang awam dinasihatkan untuk mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan dan mengikuti perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Kawasan yang disenaraikan adalah:

                   Chuping, Perlis;

                   Kubang Pasu, Kota Setar dan Sik (Kedah);

                   Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak)

                   Maran, Pahang; Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor).

Penduduk di daerah terlibat diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk kekal sihat.

 

Kesan

Apabila badan manusia terdedah pada cuaca panas yang terlampau bagi jangka masa yang lama, sistem badan akan gagal berfungsi menyebabkan suhu badan tidak terkawal.

Dalam sistem badan manusia ada pusat kawalan suhu badan yang mana suhu badan manusia dikekalkan antara 36 hingga 37.2 darjah Celsius bagi melindungi tisu badan. Keadaan ini menyebabkan kita mudah terdedah pada strok haba (heat stroke).

Strok haba atau ‘sun stroke’ ialah keadaan apabila suhu badan yang tinggi melampau melebihi 40.5 Celsius hingga mengakibatkan komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma seterusnya membawa maut.

Antara tanda awal seseorang itu mendapat strok haba adalah sakit kepala dan berdenyut, mual dan muntah, sesak nafas, kurang berpeluh walau cuaca panas, lemah otot badan, kulit kering dan kemerahan, pengsan, sawan serta koma.

 

Gejala kelesuan haba Gejala strok haba

- Kulit yang sangat panas dan kemerah-merahan

- Berpeluh dengan banyak

- Pening

- Keletihan melampau

- Loya

- Degupan jantung yang cepat

- Kurang buang air

- Kencing lebih pekat daripada biasa

 

- Suhu tinggi lebih 40 Celsius

- Dehidrasi

- Degupan jantung yang pantas.

- Pernafasan yang cepat

- Kejang otot

- Kekeliruan

- Kurang memberi tumpuan

- Serangan sawan

- Sakit kepala

- Resah

- Halusinasi

- Pengsan


Tips Kekal Cergas dan Sihat

  1. Elakkan aktiviti fizikal/lasak di luar rumah pada sekitar jam 12 tengah hari hingga 4 petang. Waktu yang sesuai untuk beriadah ialah sebelum jam 9 pagi dan selepas 5 petang.
  2. Jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.
  3. Pakai baju yang longgar, ringan dan cerah. Pilih kain yang menyerap peluh dan tidak mengumpul haba
  4. Elakkan mandi dengan air dari water heater
  5. Perbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari kerana ia juga membantu membekalkan air dan pelbagai jenis nutrien.
  6. Kurangkan pengambilan kopi, teh dan minuman bergas.
  7. Digalakkan meminum enam hingga lapan gelas air sehari. Disyorkan jumlah pengambilan air lebih.
  8. Selain air masak, anda juga mempunyai pilihan untuk mengambil air berikut:

    Air kelapa

    Tinggi sumber protein, air kelapa asli tanpa campuran gula berkesan untuk menggantikan air yang hilang daripada badan anda dalam cuaca panas.

    Susu tanpa lemak/ susu skim    

    Tinggi kandungan protein, karbohidrat, kalsium dan elektrolit, susu secara semulajadinya boleh membantu menambah kandungan sodium yang hilang apabila badan aktif atau berpeluh.

    Jus buah-buahan/sayuran

    Buat sendiri jus buah-buahan di rumah. Antara yang boleh diamalkan ialah jus tembikai dan timun, bukan sahaja membantu menghidrasi tetapi juga mengalas perut.

 

Sumber

Jabatan Meteorologi Malaysia, http://www.met.gov.my/pendidikan/cuaca/fenomenacuaca

Astro Awani (25 Feb. 2019), Gelombang panas: Tip kekal cergas 

http://www.astroawani.com/gaya-hidup/gelombang-panas-tip-kekal-cergas-199515

Hariths Asyraf Hasnan (25 Feb. 2019).  Awas! Hati-hati fenomena gelombang haba di Malaysia 

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/awas-hati-hati-fenomena-gelombang-haba-di-malaysia-199506

MyMetro (27 Mac 2016), Haba terhasil lebih daripada kesan penyejukan

https://www.hmetro.com.my/node/125650

 

Tarikh: 25 Februari 2019