Tanggungjawab

 

a. Tanggungjawab Universiti

Pihak universiti bertanggungjawab bagi menyalur dan menyebarkan kepentingan keperluan undang-undang berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta mewujudkan dan melaksanakan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UniMAP. Pihak universiti bertanggungjawab memastikan hala tuju dan objekif Dasar KKP UniMAP dapat dilaksanakan di samping menyedia dan menyelenggara loji dan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada staf dan pelajar. Pihak universiti perlu mewujudkan prosedur, program, dan sistem untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelajar, menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelajar semasa berada di tempat kerja serta menyediakan kemudahan dan sumber yang mencukupi bagi kebajikan staf dan pelajar.

b. Tanggungjawab Pusat Tanggungjawab

Setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) berperanan untuk membantu pihak pengurusan Universiti dalam menyelia dan memastikan persekitaran tempat kerja adalah selamat dan sihat serta memastikan perlaksanaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dibawah tanggungjawabnya. PTj perlu menyediakan maklumat yang diperlukan bagi membantu melaksanakan langkah-langkah pencegahan kemalangan seperti mengadakan latihan, kempen, seminar dan sebagainya. Selain itu, PTj juga perlu menyedia, menyelia dan menyelenggara sebarang  Alat Pelindung Diri yang sesuai untuk kegunaan semua kakitangan dan pelajar. PTj harus memastikan segala peralatan makmal yang digunakan berada dalam keadaan yang selamat digunakan serta penggunaan alat tersebut perlu mengikut Prosedur Kerja Selamat yang telah dibangunkan. Jika berlaku sebarang kemalangan, PTj harus membuat laporan dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang.

c. Tanggungjawab Pegawai & Staf

Pegawai dan staf UniMAP perlu memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain ketika menjalankan tugas. Antara tugas yang perlu dilaksanakan ialah memberi perhatian yang munasabah terhadap dirinya dan orang lain yang berada di sekelilingnya ketika menjalankan tugas, bekerjasama dengan Pihak Pengurusan Universiti dalam mematuhi apa-apa kehendak di bawah Akta dan peraturannya serta tata amalan industri yang berkaitan dengan tugas di samping menggunakan apa-apa kelengkapan pelindung diri yang telah disediakan oleh pihak universiti. Pegawai dan staf UniMAP perlu memberi laporan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PTj berkaitan kemalangan, insiden dan perbuatan tidak selamat berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja kepada Jawatankuasa KKP di peringkat PTj serta mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang disediakan. Pegawai dan staf UniMAP juga bertanggungjawab bagi mengambil bahagian dalam setiap aktiviti KKP.

d. Tanggungjawab Pelajar

Kampus UniMAP juga merupakan salah satu komuniti kampus yang perlu bersama-sama memastikan keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di universiti dipatuhi. Antara peranan dan tanggungjawab mereka ialah memberi perhatian setakat yang praktik semasa berada di dalam kawasan UniMAP bagi keselamatan dan kesihatan diri pelajar dan orang lain, memakai dan menggunakan alat pelindung diri yang telah disediakan oleh pihak universiti serta mematuhi apa-apa arahan dan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan menurut kehendak Akta dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Pelajar tidak boleh menyalah gunakan alat pelindung diri yang disediakan dan hendaklah mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang disediakan. Pelajar juga bertanggungjawab untuk mengambil bahagian dalam aktiviti KKP dan melaporkan semua insiden, keadaan dan perbuatan tidak selamat kepada pihak Pusat Pengajian atau penyelia.

Please publish modules in offcanvas position.