KANGAR, 11 Jan (Bernama) -- Pengetahuan mengenai perlindungan skim pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kalangan masyarakat di Perlis masih rendah.

Pengarah Perkeso Perlis Mohd Asri Mohd Rasid berkata kekurangan pengetahuan terhadap perkara itu terutamanya melibatkan waris atau orang tanggungan yang ditinggalkan setelah kematian pencarum Perkeso.

Beliau berkata sikap kurang prihatin dan tidak mengambil tahu berkaitan faedah caruman adalah antara sebab ramai waris lambat membuat tuntutan pampasan selepas berlakunya kematian.

"Faedah pencen ilat merupakan konsep faedah bulanan diberi atas sebab suatu keuzuran secara kekal yang tidak berupaya sembuh sehingga tidak mampu mencari nafkah sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keupayaan seseorang pekerja normal," katanya.

Mohd Asri ditemui pemberita selepas menyerahkan cek bayaran pertama pencen penakat dan faedah pengurusan mayat serta pencen ilat kepada empat penerima di Pejabat Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di sini hari ini.

Sebagai contoh, Mohd Asri berkata seseorang pencarum yang mengalami keuzuran serius akibat lumpuh, masalah buah pinggang serta barah dan keilatannya berlaku sebelum umur 60 tahun.

Begitu juga dengan pencen penakat, ramai masih tidak jelas mengenainya apakah dimaksudkan dengan pencen penakat Perkeso yang akan diperoleh seumur hidup oleh waris si mati, katanya.

"Ia bermaksud sekiranya si suami meninggal, maka isteri akan dapat pencen itu berserta semua anak-anak si mati yang berumur di bawah 21 tahun dan begitu juga sebaliknya.

"Bagi ibu bapa pencarum yang meninggal dunia, mereka boleh mendapat faedah tersebut sekiranya anak mereka belum berkahwin serta berumur 21 tahun dan ke atas. Ia akan dibayar pada kali pertama dengan menggunakan cek, manakala kali kedua dan seterusnya melalui bank," katanya.

Pada majlis itu, tiga penerima diberikan bayaran pengurusan mayat sebanyak RM1,500 seorang, RM15,898.51 bayaran pencen penakat kepada seorang penerima dan RM475 bayaran pencen ilat bagi setiap bulan, diberikan kepada dua penerima.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kematian atau kemalangan di tempat kerja agar memaklumkan kepada Perkeso bagi membolehkan proses bantuan diberikan dengan segera, kata Mohd Asri.

-- BERNAMA