PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan supaya ciri-ciri keselamatan pada reka bentuk bangunan sekolah di Putrajaya ditambah baik, khususnya di bahagian tingkap dan pagar balkoni.

Mahdzir yang melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini di mana seorang pelajarnya maut setelah terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu hari ini, berkata penelitian semula perlu dibuat kerana reka bentuk sekolah di daerah itu adalah berdasarkan cadangan pemaju, dan ia berlainan daripada rekaan
konvensional oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya ruang tingkat di dalam kelas yang mempunyai pintu gelangsar aluminium dilihat tidak begitu tersusun dari aspek keselamatan, manakala di luar balkoni pula mempunyai 'side table' atau belebas yang boleh dipijak murid.

Bercakap kepada pemberita, Mahdzir berkata berdasarkan tinjauan tersebut, beliau mengakui aspek keselamatan di bangunan sekolah itu adalah longgar, khasnya dalam aspek reka bentuk bangunan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohammad Yusof untuk melihat semula kaedah yang boleh dilakukan bagi menambah baik ciri-ciri keselamatan bilik darjah daripada reka bentuk bangunan sedia ada.

Arahan itu, katanya, tidak hanya tertakluk kepada sekolah di Putrajaya, sebaliknya mana-mana sekolah yang mempunyai pintu gelangsar dan belebas di luar balkoni.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa Azim Hakimi Abu Shuja, 15, dipercayai tidak dapat mengimbangi badan lalu terjatuh ketika cuba mengambil beg rakannya yang dikatakan tersangkut di belebas bangunan empat tingkat itu selepas dibuang rakan yang lain.
Ditanya sama ada mangsa berada di kelasnya sendiri semasa kejadian, Mahdzir berkata Allahyarham berada di kelasnya bagi menunggu giliran untuk dipanggil mengambil Ujian Lisan Bahasa Melayu PT3.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 selepas solat Asar hari ini.