Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah membuka tirai Istiadat Konvokesyen ke-13 pada 27 hingga 29 November 2018 yang lalu. Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  selaku Pro Canselor berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-13, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kampus Pauh Putra. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Beberapa tetamu VIP turut hadir memeriahkan lagi Istiadat Konvokesyen ke-13 UniMAP; antaranya Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Noraswana Omar, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, YB. Tuan Haji Nasaruddin Abdul Muttalib serta dif-dif kehormat.

Bagi keseluruhan 6 sidang yang berlangsung, seramai 3,623 graduan telah berjaya menerima anugerah. Daripada jumlah tersebut, 92 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah (PhD), 169 ijazah sarjana, 2,980 ijazah sarjana muda dan 382 diploma. Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menganugerahkan kepada 13 penerima anugerah dan pingat khas.

Pada majlis tersebut juga, Prof Emeritus Datuk Ir Dr. Zainai Mohamed menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Amirudin Abd Kadir, menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan.

Tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian dengan sijil, diploma dan ijazah masing-masing. Majlis konvokesyen adalah satu majlis istimewa bagi meraikan kejayaan para graduan serta ibu bapa mereka. Ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih juga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Istiadat Konvokesyen UniMAP yang ke-13.