Ayaq bah?

Ayaq bah atau banjir merupakan bencana alam yang berlaku apabila air menenggelami kawasan yang luas. Banjir bukan saja mampu merosakkan harta benda tetapi juga turut melibatkan kehilangan nyawa. Banjir juga mampu melumpuhkan ekonomi sesebuah negara. Banjir juga membawa risiko kepada penyebaran penyakit. Sehubungan dengan itu, setiap rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko tinggi menghadapi banjir, harus peka dan bersiap sedia menghadapi ancaman tersebut agar tindakan awal dapat diambil bagi meminimumkan kerosakan dan mengurangkan kehilangan nyawa akibat banjir.

 

Apa Yang Menyebabkan Banjir Berlaku?
1. Hujan yang berterusan
2. Proses pembandaran
3. Hakisan sungai
4. Pemusnahan hutan
5. Sistem perparitan tidak terancang

 

Lantaran itu, komitmen dalam mengatur langkah keselamatan pada peringkat persediaan amatlah penting bagi memastikan bahawa sumber-sumber yang diperlukan ada sewaktu diperlukan.

Berikut adalah antara langkah yang disediakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai persiapan menghadapi banjir, apa yang perlu dilakukan ketika banjir dan apakah tindakan yang perlu diambil selepas banjir berlaku di sekitar kawasan anda:

 

PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR

  • Dapatkan maklumat mengenai banjir melalui pengumuman radio, televisyen dan pihak-pihak yang berkiatan seperi bilik gerakan banjir negeri atau daerah.
  • Simpan nombor telefon yang penting seperti ahli keluarga, jiran, balai polis dan hospital terdekat dan bomba untuk kegunaan semasa kecemasan.
  • Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan   agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  • Periksa saluran perparitan di kawasan sekitar rumah seperti longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
  • Letakkan dokumen penting dalam bekas kalis air dan simpan di tempat yang selamat.
  • Kenalpasti lokasi Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana berdekatan.
  • Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan/minuman secukupnya.
  • Pastikan bekalan ubat mencukupi bagi yang menghadapi penyakit kronik.
  • Sediakan barang keperluan asas yang paling penting seperti susu anak, lampu suluh, beg pakaian dan peralatan lain sebelum diarah berpindah.
  • Memastikan seluruh ahli keluarga faham mengenai implikasi banjir dan bersedia menghadapinya.
  • Meletakkan kenderaan di kawasan yang tindak pernah dinaiki air dan pastikan kenderaan tersebut berkunci.Letakkan haiwan peliharaan di tempat selamat kerana haiwan tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas sebab kebersihan dan kesihatan.


SEMASA BANJIR

Ketika mendapat tanda-tanda awal banjir

  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
  • Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
  • Tutup semua suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas semasa meninggalkan rumah.
  • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.


Semasa pemindahan

  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
  • Ikut laluan yang ditentukan, laluan dekat mungkin terhalang.
  • Elakkan keluar rumah dengan meredah banjir jika keadaan tidak mendesak.
  • Jangan minum dan menggunakan air yang tercemar untuk memasak.
  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.


SELEPAS BANJIR

  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak  berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan, mendapan atau kerosakan kerana ianya mengkin tidak selamat.
  • Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tidak terduga dan tersembunyi.
  • Pakai kasut bertutup.
  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  • Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
  • Pastikan minum air yang telah dimasak dan elakkan dari meminum air yang telah tercemar.
  • Basuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir.
  • Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.

 

Talian Kecemasan

 

  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perlis) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hospital/Klinik
Kangar 04 - 976 0544 04 - 908 2222 Hospital Tuanku
Fauziah
04 – 973 8000
Arau 04 - 986 4444 04 - 986 1222 Klinik kangar 04 - 977 8333
Padang Besar 04 - 949 0094 04 - 949 2222 Klinik Arau 04 - 986 1169
Kuala Perlis 04 - 985 5332 04 - 985 4222 Klinik Beseri 04 - 938 1355
Simpang Empat   04 - 980 7222 Klinik Simpang
Empat
04 - 980 7214
      Klinik Kuala Perlis 04 - 985 4259
      Klinik Pdg. Besar 04 - 949 0333
         
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Telekom Malaysia  
Kangar 04 - 977 7991 Kangar 04 – 979 2205  
  04 - 977 8991      
         
Tenaga Nasional Berhad (TNB)      
Padang Behor 15454      

 

Rujukan:

Astro Awani Online, Langkah-langkah persediaan menghadapi, sebelum dan selepas banjir (November 2015) oleh Pn. Mariah Ahmad dan Pn. Norsiah Mohd Ramli

FOMCA, Persediaan menghadapi banjir (Januari 2019)

Gambar daripada freemalaysiatoday.com