Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa prihatin terhadap sebarang risiko ancaman penyebaran jangkitan  seperti Novel Coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan warga universiti mahupun rakyat Malaysia secara umum. Pengurusan UniMAP telah membuat beberapa keputusan sebagai langkah proaktif pencegahan dan pengawalan maksimum memandangkan universiti mempunyai pelajar-pelajar antarabangsa termasuk dari China.

Warga UniMAP di semua kampus diarahkan untuk mematuhi arahan yang telah dan akan ditetapkan dari semasa ke semasa.

  1. Buat masa ini, UniMAP mengarahkan dengan serta-merta semua aktiviti dan perjalanan warganya (staf dan Pelajar) ke negara China ditangguhkan.
  2. Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, UniMAP akan melaksanakan saringan kesihatan kepada pelajar-pelajar antarabangsa dari China bagi mengelakkan sebarang risiko.
  3. Bagi staf yang bertugas di kaunter/frontline hendaklah sentiasa memakai mask dan menggunakan hand sanitizers.
  4. Semua pesakit yang berisiko dikehendaki hadir ke fasiliti KKM selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

UniMAP akan terus memantau perkembangan jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi dari KKM. PKU UniMAP juga sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Warga UniMAP akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini melalui saluran rasmi. Begitu juga UniMAP akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Universiti Malaysia Perlis

28 Januari 2020