Raub: Tempoh sejam terasa amat lama dan menyeksakan bagi seorang lelaki warga Indonesia apabila tangan kirinya ‘terbenam’ ke dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang di Bukit Telaga, Bukit Fraser, dekat sini, sebelum berjaya dikeluarkan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.44 tengah hari itu, mangsa berusia 40 tahun dikejarkan ke Hospital Raub, di sini, untuk rawatan selepas tangan kirinya separuh hancur dikisar mesin berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, kejadian disedari rakan mangsa yang terdengar jeritannya meminta pertolongan.

“Rakannya tidak berani membantu kerana tangan mangsa sudah termasuk ke dalam mesin berkenaan lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Raub untuk meminta bantuan,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mengambil masa kira-kira sejam untuk memecahkan mesin pengisar daging itu sebelum berjaya mengeluarkan tangan mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa tidak menyedari tangannya termasuk ke dalam mesin berkenaan kerana terlalu leka bekerja.

 

                                                                                                             
                                                                                                           Artikel dipetik dari Harian Metro ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:16 AM