KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi pendiriannya mengenai keperluan mengharamkan penggunaan papan iklan diod pancaran cahaya (LED) kerana ia berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata kebanyakan papan iklan itu diletakkan di lokasi yang tidak dibenarkan seperti di persimpangan jalan bukannya di laluan tepi jalan seperti sepatutnya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata CAP telah membangkitkan isu ini sejak Julai lepas kepada pelbagai pihak berkuasa berkaitan tetapi tidak diendahkan.

Kenyataan ini senada dengan kenyataan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mengenai bahaya papan iklan digital di sepanjang jalan dan lebuh raya dengan LED yang sangat terang dan mengganggu tumpuan pengguna jalan raya.

-- BERNAMA