PENDAHULUAN

Gangguan seksual bukanlah isu yang baru didalam industri, hampir semua organisasi mempunyai masalah gangguan seksual di tempat kerja. Dalam konteks industri gangguan seksual adalah suatu fenomena negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada pekerja yang menjadi mangsa. Jika perlakuan ini tidak dibendung, ia akan menjejaskan produktiviti dan memberi kesan-kesan sampingan yang lain kepada organisasi itu sendiri.

DEFINISI ‘GANGGUAN SEKSUAL’

Mengikut definisi International Labour Organization (ILO) dalam Balakrishnan Parasuraman (2002) gangguan seksual bermaksud perbuatan yang menarik perhatian mengenai seksual yang meliputi penghinaan atau memalukan atau mamberi kesan biadap, melawak, menghina dan membuat komen dengan niat membuat komen dengan niat memburukkan wanita sama ada dari segi pakaian, fizikal, umur, keluarga dan sebagainya, iaitu sikap paternatik yang mempunyai implikasi seksual dan memusnahkan dignity atau maruah seseorang, sebarang bentuk tingkah laku yang tidak diingini, sama ada ia mengancam atau tidak, sebarang bentuk penglihatan dan gestur yang dikaitkan dengan seksualiti, sebarang bentuk sentuhan fizikal yang tidak sewajarnya berlaku seperti sentuhan, pelukan, tepukan dan perbuatan yang memalukan.

 JENIS-JENIS GANGGUAN SEKSUAL

1. Gangguan lisan

Kata-kata, komen, berjenaka, mengusik, membuat bunyi dan menyoal perkara-perkara yang tidak menyenangkan dan berunsur lucah.

2. Gangguan dari segi isyarat

 Pandangan atau kerlingan yang isyarat membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makanan dengan cara meggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks atau lain-lain.

3. Gangguan visual

Menunjukkan material-material pornografi, melukis lakaran atau menulis sesuatu berasaskan seksual, mempamerkan sesuatu yang berbentuk seksual dan lain-lain.

4. Ganguan psikologikal

Undangan-undangan sosial yang tidak diingini, kekerapan mengajak untuk mengadakan temujanji atau intimasi fizikal dan lain-lain.

 

5. Gangguan fizikal

Sentuhan, tepukan, cubitan, urutan, geselan terhadap tubuh badan yang tidak bersesuaian, pelukan, ciuman, meraba dan gangguan seksual.

 

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI GANGGUAN SEKSUAL (SECARA INDIVIDU)

1.    Berkomunikasi

 

Jika rakan sekerja sering membuat kita berasa kurang selesa, elakkan berkerja dengannya secara berdua tanpa rakan-rakan yang lain di satu ruang yang tertutup dan tiada orang lain. Dalam masa yang sama zahirkan ketidakselesaan kita sebagai contoh jika rakan sekerja gemar berdiri terlalu rapat, tegur secara lembut, “Maaf, boleh jauh sikit? Saya rasa tak selesa bila orang berdiri terlalu rapat dengan saya”. Jika dia gemar meletakkan tangannya dibahu sebagai contoh, cakap sahaja, “Maaf, saya tak selesa macam ni” ataupun dia gemar menghantar lawak lucah secara What’sApp, email atau SMS, jawab semula teks mesej tersebut,”Tolong hentikan! Saya tak suka”.

 

2.    Simpan bukti

 

Jika rakan sekerja masih tidak faham dan tidak mahu berubah walaupun sudah diberi amaran sebaliknya mengejek. Simpan segala bukti seperti email, teks mesej, rakaman perbualan, catitkan tarikh, masa dan tempat. Lebih bagus jika ada menyimpan rakaman perbualan melalui telefon bimbit. Simpan bukti-bukti tersebut untuk laporkan kepada Jabatan Sumber Manusia di tempat kerja.

 

3.    Cari orang yang boleh dipercayai

 

Anda juga boleh mencari seseorang yang anda boleh percayai di pejabat untuk memerhatikan anda di tempat kerja. Jika boleh seseorang yang berjawatan lebih tinggi dari anda, tegas dan disegani. Mungkin juga orang tersebut boleh menegur ‘pemangsa’ supaya segan dan yang paling penting, pastikan seseorang itu benar-benar boleh dipercayai.

 

 

4.    Aduan Secara Formal

 

Jika beberapa cara diatas masih tidak berkesan, Anda boleh menggunakan bukti-bukti yang anda ada seperti bukti secara catitan, hitam putih, audio dan visual untuk melaporkan kepada pihak atasan. Lakukan laporan secara bertulis, lisan atau kedua-duanya sekali.

5.    Laporan Kepada Pihak Luar

 

Jika laporan anda tidak diendahkan oleh syarikat atau organisasi mungkin si pelaku merupakan seseorang yang berkepentingan di tempat kerja sebagai contoh pengarah atau salah seorang pemegang saham di syarikat, bawa hal ini ke pihak yang berwajib seperti polis, dan Pejabat Buruh. Bawa sekali segala bukti yang ada, termasuk dengan e-mail atau aduan bertulis dan aduan secara lisan anda kepada sumber manusia yang tidak diendahkan kepada pihak berkuasa.

 

6.    Perancangan Lain

 

Adakalanya bukan semua orang mempunyai kekuatan atau keberanian untuk membuat laporan. Jika anda tidak mahu memanjangkan kes ini mungkin anda boleh bersedia untuk mencari kerja di tempat lain. Ataupun, jika anda sudah melaporkan hal ini kepada pihak luar atau pihak berkuasa, bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana sebelah kaki anda sudah bersedia untuk meninggalkan syarikat terbabit.

 

Walaupun banyak usaha untuk membendung permasalahan ini sebagai contoh di Malaysia, termaktub didalam Undang-Undang Buruh 1957 di bawah Seksyen 81C , tetapi mungkin ada juga sesetengah mangsa tidak berani melaporkan hal ini dan mungkin juga tidak tahu hak mereka dilindungi. Kesimpulannya jika perkara ini berlaku pada diri anda, lapor lah kepada pihak atasan supaya tindakan yang sewajarnya dapat dilakukan.

 

Sumber :

1)    Artikel: Ismail, Z., Abdul Malik, H., Achro, M. (2001).

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja: Definisi, Kesan Dan Langkah Mengatasinya

 

2)    Blog: 6 Cara Menangani Gangguan Seksual di Tempat Kerja - Abang Brian, http://www.abangbrian.com/blog/2015/12/10/cara-menangani-gangguan-seksual/