Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil maklum akan status wabak COVID-19 berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pihak Universiti sangat mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan warga UniMAP keseluruhannya.

Situasi semasa di Malaysia menunjukkan peningkatan wabak COVID-19. Justeru itu, mengambil kira saranan dari KKM berkaitan perhimpunan yang melibatkan jumlah peserta yang ramai (mass gathering), maka pihak UniMAP mengambil langkahlangkah berikut berkaitan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkuatkuasa 16 Mac 2020 hingga 5 April 2020:

PROGRAM PENGAJIAN IJAZAH TINGGI DAN IJAZAH SARJANA MUDA :

1. Semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti kuliah/ tutorial/ makmal/ praktikal/ ko-kurikulum AKAN DILAKSANAKAN SECARA ATAS TALIAN (ONLINE), menggantikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka sepanjang tempoh 16 Mac 2020 hingga 5 April 2020.

2. Pusat Pengajian/Fakulti akan memberi pemakluman kepada para pelajar tentang kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran secara atas talian (online) yang akan digunakan.

3. Bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19, pelajar DILARANG pulang ke kampung halaman masing-masing dan kekal berada di kawasan kampus (termasuk kolej kediaman) sepanjang tempoh 16 Mac 2020 hingga 5 April 2020.

4. Sekiranya ada keperluan untuk meninggalkan kawasan kampus dan kolej kediaman sepanjang tempoh tersebut, pelajar dimohon memaklum dan mendapatkan kebenaran Dekan Pusat Pengajian/Fakulti masing-masing.

5. Lanjutan daripada penetapan tempoh di atas, Kalendar Akademik Semester 2, Sidang Akademik Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda akan dipinda seperti berikut :

16 Mac 2020 – 22 Mac 2020 Minggu ke-6 Kuliah
23 Mac 2020 – 29 Mac 2020 Minggu ke-7 Kuliah
30 Mac 2020 – 05 April 2020 Minggu ke-8 Kuliah

Tempoh Cuti Pertengahan Semester 2 tidak dibatalkan tetapi akan dianjak dan dimaklumkan ketetapan tarikhnya kemudian.

PROGRAM PENGAJIAN DIPLOMA :

1. Pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester 2, Sidang Akademik 2019/2020 yang sepatutnya berlangsung pada 24 Mac 2020 hingga 12 April 2020 DITANGGUHKAN ke 6 April 2020 hingga 26 April 2020. Jadual waktu terkini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

NASIHAT KESIHATAN :

1. Warga UniMAP diingatkan untuk terus mengambil langkah amalan pencegahan terbaik sebagaimana yang disarankan oleh pihak KKM seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan hand sanitizer.

2. Sekiranya mengalami tanda-tanda demam, batuk, selesema dan sukar bernafas, warga UniMAP dinasihat untuk mendapatkan rawatan awal di Pusat Kesihatan Universiti, hospital atau klinik yang berhampiran. Pihak UniMAP akan terus memantau perkembangan wabak ini dan menyalurkan maklumat terkini dari masa ke masa. Warga UniMAP juga diingatkan agar mendapatkan berita yang sahih mengenai wabak COVID-19.

Terima kasih.

YBHG. PROF. IR. DR. MOHD. RIZAL BIN ARSHAD Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis

15 MAC 2020