Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil maklum akan status wabak COVID-19 berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pihak Universiti sangat mengambil berat berhubung kesihatan dan keselamatan warga UniMAP keseluruhannya.

Situasi semasa di Malaysia menunjukkan peningkatan wabak COVID-19. Justeru itu, mengambil kira saranan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka pihak UniMAP telah dan akan mengambil tindakantindakan seperti berikut :

A. LARANGAN KE LUAR NEGARA UNTUK SEMUA WARGA UniMAP (STAF DAN PELAJAR) SAMA ADA ATAS URUSAN RASMI ATAU PERIBADI

Semua perjalanan ke luar negara bagi urusan rasmi adalah DILARANG terutama ke negara-negara atau wilayah-wilayah yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19. Arahan ini berkuatkuasa serta merta hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Sila rujuk Pekeliling Pendaftar Bilangan 4 Tahun 2020- Travel Advisory Berkaitan Jangkitan Covid-19 Untuk Warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertarikh 12 Mac 2020 bagi maklumat lanjut.

Pihak Universiti turut menasihatkan agar semua perjalanan rasmi domestik dapat ditunda atau digantikan dengan kaedah alternatif seperti mesyuarat/perbincangan secara atas talian.

Pihak Universiti turut menggesa agar warga UniMAP dapat menangguhkan perjalanan ke luar negara atas urusan peribadi bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19.

B. PENUNDAAN PENGANJURAN ATAU PENYERTAAN SEMINAR/ AKTIVITI/ BENGKEL/ PERHIMPUNAN/ PROGRAM SUKAN DAN PROGRAM SOSIAL

Mengambil kira saranan KPT dan KKM berkaitan aktiviti yang melibatkan jumlah peserta yang ramai (mass gathering), maka semua penganjuran atau penyertaan dalam mana-mana seminar/aktiviti/bengkel/perhimpunan/program sukan dan program sosial hendaklah ditunda berkuatkuasa 16 Mac 2020 hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sekiranya terdapat pertemuan sekumpulan peserta/ahli mesyuarat yang tidak dapat dielakkan sama sekali, sila maklumkan kepada Bilik Gerakan Bencana agar penasihatan tentang langkah-langkah pencegahan dapat diberikan kepada penganjur.

C. PENUNDAAN DAN PENGURANGAN LAWATAN KE KAMPUS

Perimaan lawatan (rasmi dan tidak rasmi) ke Universiti dari mana-mana sekolah/ institusi pendidikan /organisasi luar perlu ditunda buat sementara waktu berkuatkuasa 16 Mac 2020 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

D. AKTIVITI PENYELIDIKAN

Aktiviti penyelidikan dibenar untuk dijalankan seperti biasa tetapi semua penyelidik digesa untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu sepertimana yang disarankan oleh KKM.

Aktiviti penyelidikan secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan. Para penyelidik juga tidak digalakkan berada dalam tempoh yang terlalu lama di dalam makmal.

Sila amalkan pemakaian penutup mulut dan hidung (mask) dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan hand sanitizer.

Bagi penyelidik yang mengalami tanda-tanda demam, selesema dan batuk, dinasihatkan untuk tidak hadir ke makmal.

E. OPERASI HARIAN UNIVERSITI

Semua urusan pentadbiran dan perkhidmatan universiti adalah beroperasi seperti biasa tetapi semua staf digesa untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu sepertimana yang disarankan oleh KKM.

Bagi urusan kaunter, staf diingatkan untuk mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi semasa berurusan dengan orang ramai. Pakai penutup mulut dan hidung (mask) dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan hand sanitizer.

Bagi urusan merekod kehadiran, sila patuhi arahan merekod kehadiran yang dikeluarkan. Tiga(3) kaedah merekod kehadiran telah disediakan sebagai alternatif menggantikan thumbprint.

F. WAKTU OPERASI PERPUSTAKAAN

Waktu operasi Perpustakaan dipendekkan kepada 8.30 pagi hingga 5.30 petang berkuatkuasa 16 Mac 2020.

Kemudahan perkhidmatan perpustakaan boleh dicapai secara maya kerana Perpustakaan menawarkan akses secara jarak jauh (remote access) kepada sumber maklumat digital dan perkhidmatan atas talian. 

G. PERINTAH PENGAWASAN DAN PEMERHATIAN DI RUMAH

Sekiranya ada staf atau pelajar yang diarahkan untuk menjalani home surveillance oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pastikan anda mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah yang telah ditetapkan. Untuk makluman Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah ini merupakan arahan yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Staf dan pelajar yang menjalani home surveillance perlu melaporkan dengan segera kepada Ketua Jabatan/Dekan masing-masing dan Bilik Gerakan Bencana bagi tujuan rekod dan pemantauan.

Staf juga diminta mengisi permohonan cuti di bawah cuti kuarantin dan melampirkan surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah untuk tujuan rekod.

H. SEBARAN BERITA DAN MAKLUMAT

Staf dan pelajar dinasihatkan untuk TIDAK menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan wabak COVID-19.

Maklumat berkaitan COVID-19 boleh dilayari di saluran berikut :

Laman web : https://osh.unimap.edu.my/index.php/coronavirus/
Channel Telegram : https://t.me/infobencanaunimap

I.NASIHAT KESIHATAN 

i. Warga UniMAP diingatkan untuk terus mengambil langkah amalan pencegahan terbaik sebagaimana yang disarankan oleh pihak KKM seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan hand sanitizer.

ii. Sekiranya mengalami tanda-tanda demam, batuk, selesema dan sukar bernafas, warga UniMAP dinasihat untuk mendapatkan rawatan awal di Pusat Kesihatan Universiti, hospital atau klinik yang berhampiran.

iii. Warga UniMAP yang bergejala dinasihatkan agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai. Jarakkan diri sekurangkurangnya satu meter apabila berhadapan dengan individu lain. Setelah sihat sepenuhnya barulah staf dan pelajar dibenarkan kembali bekerja/mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

Pihak UniMAP akan terus memantau perkembangan wabak ini dan menyalurkan maklumat terkini dari masa ke masa. Warga UniMAP juga diingatkan agar mendapatkan berita yang sahih mengenai wabak COVID-19.

Untuk sebarang penyaluran maklumat atau pertanyaan, sila hubungi Bilik Gerakan Bencana : 011-62270316 atau Pusat Kesihatan UniMAP : 013-5962011.

Sekian, terima kasih.

Pendaftar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

16 Mac 2020